Wednesday, May 1, 2019

HIMPUNAN LEMBARAN KERJA PENDIDIKAN ISLAM PRASEKOLAH PPKI

Bismillahirrahmanirrahim...

Perahu mudik ke Tanjung Jati,
Lelah bertandang dayung bersilih; 
Guru mendidik seikhlas hati,
Melimpah sayang anak terpilih.




Sepanjang berkhidmat sebagai seorang guru, aku tidak pernah menyangka bahawa aku akan diberi amanah untuk mendidik murid Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kerana guru yang mengendalikan anak-anak syurga ini memerlukan kemahiran dan kepakaran yang khusus. Namun, atas rasa tanggungjawab, aku laksanakan tugas ini sehabis baik.

2 September 2016 merupakan hari terakhir aku bersama mereka setelah permohonanku untuk menyambung pengajian diluluskan. Selama sembilan bulan aku berlatih menyesuaikan diri untuk mengenali, memahami dan berada dalam dunia mereka sehingga aku benar-benar selesa. Namun, jodoh kami tidak panjang.   

Walau bagaimanapun, pengalaman mengajar mereka selama sembilan bulan itu kugunakan sebaiknya. Lembaran kerja yang aku hasilkan sendiri, aku kumpul dan usaha untuk dibukukan agar dapat dijadikan rujukan oleh guru lain yang akan mengambil alih tempatku. 

Tidak sia-sia juga bahan yang aku siapkan saban hari jika aku berkongsi. Ya, tulislah! Bina bekalan untuk kau tinggalkan.

Pengalaman yang aku lalui membuatkan aku benar-benar empati dengan perasaan guru baharu yang berada dalam situasiku. 

Apa nak buat? 
Apa aktiviti yang sesuai? 
Bagaimana mahu mengajar? 
Di mana harus aku mulakan? 

Pelbagai persoalan bermain di minda. Berpeluh dibuatnya! Namun, atas panduan dan cadangan yang diberikan oleh guru yang lebih berpengalaman, iaitu Puan Roslaini dan Puan Zumaidah, aku berasa sedikit lega. Satu demi satu lembaran kerja kubina. 

Penekanan banyak diberikan kepada latihan asas seperti menyurih, menyambung titik dan mewarna. Diam tak diam, apabila tiba masa meninggalkan mereka, buku ini berjaya juga dicetak dalam dua saiz berbeza, iaitu A4 dan B5 untuk kegunaan dalaman, khususnya guru yang menggantikan aku.  




Inilah bingkisan terakhir buat anak-anak istimewa anugerah Allah yang amat dikasihi. Kami sebuah keluarga. Insya-Allah, andai ada rezeki dapat dipatenkan dan ada permintaan untuk diterbitkan, aku akan usahakan. Doakan ya. Amin. 


PANTUN: PENGASAH MINDA, PENGASUH JIWA

Bismillahirrahmanirrahim...

Orangnya santun kupandang damai,
Bertudung labuh rajin berbakti;
Benih pantun elok disemai,
Suburnya tumbuh berakar di hati.

3 Mac 2014, tarikh tersemat dalam ingatan. Pada hari itu, aku telah menerima senaskhah buku berjudul, Pantun: Pengasah Minda, Pengasuh Jiwa yang dikirim oleh Encik Mohd. Januri bin Aiyub, pensyarah yang kusanjungi di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH), Sungai Petani, Kedah. Allahuakbar, sekian lama menanti, akhirnya tiba jua buku ini di tanganku. Yeay!

Sebenarnya, inilah buku pertama yang aku hasilkan secara kolaborasi bersama rakan pasukan pantun dan juga pensyarah pembimbing kami, Cik Asniza binti Zakaria. Namun begitu, buku ini tidak diterbitkan di pasaran buat masa ini. Hanya dicetak sebanyak 100 naskhah untuk kegunaan dan rujukan guru pelatih IPG KSAH.

Buku ini menghimpunkan pantun-pantun yang dicipta oleh Mohd. Aidil Firdaus, Saadiah, Norhatiqah dan aku sendiri serta dibantu oleh Siti Fatimah al-Zahra, Shaheera, Norfaryana dan Mohd Luqman. Pantun-pantun tersebut merupakan koleksi peribadi kami sepanjang menyertai pertandingan pantun mewakili IPG dari tahun 2007 hingga 2011. Himpunan pengalaman.

Ya, nilainya amat berharga. Itulah cetusan idea asli dan dicipta menepati syarat agar mencapai standard kualiti sesebuah pantun. Lima tahun bahan dibina. Dua tahun isi kandungannya disusun untuk dibukukan. Sungguh, bukan satu kerja yang mudah! Apabila terkenangkan komitmen setiap kali bertanding, aku amat menghargai pantun-pantun yang terhasil. 

Aku mengambil masa di tahun akhir pengajian untuk mengumpul semua bahan. Peranan sebagai pemantun pertama merangkap ahli pasukan yang paling rajin menyalin dan gigih menyimpan... Perasan jap! Maka, aku diamanahkan untuk compile keseluruhan pantun yang ada. Fuh, lima tahun punya hasil tu... berpinar biji mata weh!  

Walau bagaimanapun, proses menaip dalam layout yang kemas sambil menyunting ejaan, tanda baca dan sebagainya memerlukan tempoh yang agak lama sehingga tugas ini terpaksa disambung oleh adik juniorku, Norhatiqah. Ampun dik! Aku menurunkan amanat ini kepada Norhatiqah kerana aku tidak lagi berada di IPG. Kerap juga aku update perkembangan buku yang mahu dihasilkan ini.

Walaupun telah menamatkan pengajian di IPG dan bergelar seorang guru, usaha membukukan pantun itu tetap diteruskan oleh pensyarahku yang dikasihi, Cik Asniza. Beliaulah yang bertungkus lumus merealisasikan hasratku untuk melihat pantun-pantun kami berada dalam bentuk sebuah buku. Akhirnya, impian jadi kenyataan. Lihatlah hasilnya!


Kulit Hadapan


Kulit Belakang


Halaman Dalam

Inilah detik dan ketikanya aku menikmati perasaan memegang dan memiliki buku yang ada tertulis namaku di dalamnya.  Allahuakbar, syukur alhamdulillah. Best sangat! Momen yang cukup indah. 


Terima kasih Cik Asniza. 
Terima kasih Encik Januri. 
Terima kasih Dr. Hashimah. 
Terima kasih pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Melayu. 
Terima kasih geng pantun - ALUMNI: Sanggar Mustika.

Insya-Allah, dengan izin rakan sepasukan dan para pensyarahku, aku cuba untuk menerbitkan buku ini agar dapat dijadikan panduan dan bermanfaat untuk ramai lagi pencinta pantun di luar sana. Doakan usaha murni ini berjaya! Biiznillah... Amin. 
  

Tuesday, April 30, 2019

KELAS BLOG ONLINE

Bismillahirrahmanirrahim...

Melafaz kalam di waktu malam,
Dendang beritma alunan puisi;
Semakin dalam ilmu kau selam,
Jadilah umpama padi berisi.

Minat menulis adalah antara hobi yang sebati dalam diri. Laman Facebook sentiasa menjadi medan untuk aku mengasah kemahiran ini. Langkah menerbitkan koleksi peribadi pada tahun 2016 telah membolehkan aku menapak lebih jauh dalam bidang penulisan. Satu demi satu buku dikeluarkan.

Selain menggunakan medium Facebook sepenuhnya, aku mula mencari guru yang boleh memimpin aku. Ya, berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi. Aku memerlukan seorang guru yang boleh berdiri dan bercakap di hadapan mataku. Bukan hanya bergantung kepada e-book dan bahan bacaan semata. Penting! 

Walaupun langkahku untuk berguru dirasakan agak terlewat. Namun, aku bersyukur kerana usahaku selama ini tidak tersasar. Masih berada atas landasan. Alhamdulillah. Aku mula mendaftar diri menghadiri pelbagai kursus, seminar dan bengkel berkaitan ilmu yang kucari.

"Nanti, kalau aku dah tak ada di Malaysia, macam mana nak datang kelas?" getusku.

Ya Allah, sedihnya apabila memikirkan tentang hal ini. Peluang berharga akan terlepas. 

"Ah, internet mesti ada. Aku wajib maksimumkan kemudahan ini!" Aku membulatkan tekad.

Ternyata, langkah menyertai kelas blog secara atas talian ini amat berguna kepadaku. Aku mempunyai satu ketagihan yang baharu. Masya-Allah. Cantiknya rencana Allah aturkan. Kelas blog yang diajar oleh sifu, Puan Anys Idayu Zakaria sangat membahagiakan aku.

"Macam ni ya?"

"Ini di bahagian mana?"

"Klik yang mana satu ya?"

"Borang itu bagaimana nak diwujudkan?"

Nah, entah berapa banyak soalan kuutarakan! Puan Anys sabar melayani kerenah pelajarnya yang banyak songeh ni. Almaklumlah, mak budak baru belajar. Tambah pula, bukan sikit-sikit ya tugasan yang diberi. Rasakan, 12 tugasan perlu disiapkan! Terkedek-kedek mak budak ni menggodek. 

Waktu pendaftaran lagi aku sudah terfikir, "Sempatkah tugasan ini disiapkan dalam masa seminggu? Aku ni buta IT. Lemah betul kalau melibatkan teknologi, apps itu, apps ini."

Siapa sangka mimpi jadi realiti? Puan Anys yang baik hati memberi peluang untuk aku belajar step by step. One by one. Puan Anys akan guide dan selesaikan masalah aku. Subhanallah, seronok aku meneroka. Oh, kami berhubung melalui aplikasi Whatsapp sahaja ya! Ya Allah, untung sangatlah. Sungguh, memang mudah. 



Nah, inilah hasilnya sepanjang satu minggu berguru! Subhanallah, terujanya perasaanku tidak dapat digambarkan. Terima kasih tidak terhingga kepada Puan Anys kerana merealisasikan impianku untuk memiliki blog sendiri. Syukur ya Allah, dengan izin-Nya kami dipertemukan kerana ilmu-Mu yang luas. 




   
  

  

EBOOK JANA PENDAPATAN DENGAN BLOG

Bismillahirrahmanirrahim...

Bagai gerhana menunggu hari,
Bibir bermadah rindu tak sudah;
Pendapatan dijana di hujung jari,
Khabarkan kaedah laksananya mudah?


Demikianlah, menanti wang jatuh ke riba. Kata orang, pendapatan boleh saja dijana dari rumah. Namun, bagaimanakah caranya? Saat menerima berita bahawa aku perlu berhijrah, aku berfikir tanpa noktah. Seorang wanita yang dirinya sentiasa disibukkan dengan sesuatu perkara, akhirnya bercuti daripada kerjaya. Hilang punca pendapatan utama buat sementara. 

Maka, aktiviti perniagaan kecil-kecilan yang sebelum ini hanya diusahakan sebagai pendapatan sampingan, kini dirasakan bakal menjadi kerjaya number one. Hah, spesies tak reti duduk diam sungguh! 

Walau suamiku mampu menanggung, isterinya tetap bersedia untuk menampung. Sejujurnya, aku sekadar inginkan kepuasan teragung. Puas meraih hasil titik peluh sendiri sementelah diajar berdikari. Gittew! Habis tu nak buat apa?

Ha, apabila bersua insan bernama Puan Anys Idayu Zakaria secara maya melalui kelas blog yang didaftarkan sepanjang 23 hingga 30 April 2019, aku dipertemukan dengan sebuah e-book yang ditulis oleh beliau sendiri, iaitu Jana Pendapatan Dengan Blog. 
Wah, e-book pertama dan terakhir yang kubaca dari awal hingga penutupnya ialah pada hujung tahun 2015, iaitu empat tahun yang lalu! Allahuakbar. Jujur, aku lebih gemar memegang buku fizikal daripada membaca e-book.

Namun, apabila aku mendaftar diri ke kelas blog, secara automatik e-book yang ditulis oleh Puan Anys menjadi rujukan aku. Apa yang boleh aku katakan, minda aku sangat terbuka! Banyak perkara yang selama ini aku mengetahuinya sekadar pengetahuan asas, dicungkil dengan lebih mendalam dan aku semakin faham.

Content e-book ini dapat menjawab persoalan yang bermain dalam fikiranku sebelum ini.

Mengapa aku perlu tulis blog?
Apa yang aku perlu tahu tentang blog?
Bagaimana aku mahu menjana income melalui blog?

Masya-Allah, segalanya ada diceritakan, bahkan lebih lagi. Banyak ilmu baharu yang diraih. Sungguh, memang tak rugi! Tinggal lagi ilmu itu konsisten untuk aku amalkan. Blog, platform baharu untuk aku berlatih menulis dengan lebih baik. Insya-Allah. Doakan aku berjaya! 




Monday, April 29, 2019

AKTIVITI HUJUNG MINGGU

Bismillahirrahmanirrahim...

Pandang tak jemu mawar direnung,
Mekar meraksi pegun adinda;
Carilah ilmu setinggi gunung,
Hidup terisi bekalannya ada. 

KETAHUILAH, "Apabila anak Adam itu mati, maka terputuslah amalnya, kecuali doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat" (Hadis Riwayat Muslim).  

Ya, isilah hidupmu dengan sesuatu yang dapat memberi kebaikan buat bekalan ke syurga idaman. Sesungguhnya, masa terlalu berharga kerana saat kematian itu tidak dapat dijangka. Demikianlah, hidup seorang hamba untuk beribadah kepada-Nya. Pesan buat diriku yang kadangkala alpa.

Kata orang, "Seronoklah dah bercuti tanpa gaji. Lepas ni boleh goyang kaki!" 

"Ah, mana mungkin aku mensia-siakan masa yang ada!" getusku.

Apabila ditakdirkan Allah untuk berhijrah buat kesekian kali, otakku ligat berfikir. 

"Bagaimana aku mahu menempuh hari-hari mendatang di negara orang?"

Aku sangat yakin bahawa aku sukar untuk bergerak ke mana-mana sesuka hatiku seperti yang aku lakukan di Malaysia. Ke sana, ke sini seorang diri dan kadangkala membawa anak kecil bersama. Redah memandu ke mana saja! Itulah aku.   

Oleh itu, beberapa bulan sebelum tibanya tarikh akhir aku mengajar di sekolah, aku mencari saluran ilmu tentang penulisan atas talian. Ini persediaan 'me time' aku apabila berada di bumi anbia. 

15 Mac 2019, aku menemui iklan yang dihebahkan di facebook Puan Masayu Ahmad tentang kelas menulis blog. Sepantas kilat aku klik pautan yang dipaparkan! Keesokan harinya, barulah respon diterima. 

"Assalamualaikum, salam kenal. Saya Anys Idayu. Mohon save nombor saya ya untuk dapatkan lebih banyak info best tentang servis yang ditawarkan. Puan boleh pilih nak upah atau belajar. Kelas di whatsapp. Masa fleksibel ikut masa sendiri. Tugasan akan diberikan dan puan boleh buat ikut masa sendiri. Saya akan semak tugasan sebaik siap."

Allahuakbar. Alangkah bahagianya aku apabila mengetahui ada kelas yang sebegini. Sudah lama aku memendam hasrat untuk memiliki blog sendiri. Inilah masanya! Peluang hadir tepat pada masa. Subhanallah, cantiknya rencana Allah. Sebulan selepas itu, barulah aku diizinkan untuk mendaftar diri bagi menyertai kelas blog secara online bermula 23 hingga 30 April 2019. 

Kebiasaannya, hujung minggu aku akan penuh dengan aktiviti luar. Namun, minggu ini aku memberi perhatian sepenuhnya untuk belajar secara atas talian. Kelas blog online yang telah menarik minat aku sejak beberapa hari ini. Seronok!

Hah, lihatlah design untuk header yang diberikan! Aduhai, rambang mata mahu memilih. Bantu saya boleh?  




YANG MANA SATU IDAMAN KALBU?

TERIMA KASIH PUAN MASAYU AHMAD.
TERIMA KASIH SIFU, PUAN ANYS IDAYU ZAKARIA.

Thursday, April 25, 2019

CABARAN SURI BEKERJAYA BERBISNES

Bismillahirrahmanirrahim...

Rimbun di desa pohon berdahan,
Berteduh petang nyaman dirasa;
Manfaatkan masa pinjaman Tuhan, 
Gelora mendatang pautlah Yang Esa.


Aku seorang anak, menantu, isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Itulah prioritiku. Aku juga tidak dapat lari daripada tugas hakiki sebagai seorang guru. Kerjaya utamaku. Membahagi masa untuk menjalankan amanah tersebut sudah cukup mencabar bagi seorang wanita bertubuh kecil sepertiku. 

Ditambah lagi tugas-tugas sampingan melibatkan hobi dan minat yang amat mendalam sehingga menjadi passion dan eager untuk diteruskan walau apa jua halangan. Aku suka berpantun. Aku suka mengembara. Aku suka mengacara majlis. Aku suka menulis yang akhirnya mendorong aku untuk menjual buku-buku yang kutulis. Automatically, aku seorang usahawan kecil-kecilan.  

Tuntutan sebagai seorang pelajar sarjana sepenuh masa selama dua tahun ini turut memberi cabaran besar untuk aku mengurus jadual harianku. Dahagaku ke hulu ke hilir mencari sebentuk cangkir buat meneguk ilmu sedalam lautan. Alhamdulillah, cuma selangkah sahaja lagi. Menantilah dalam iman. Tarikh konvokesyen bakal diumumkan beberapa bulan dari sekarang. Syukur.  

Ya Allah, sibuknya aku dengan urusan dunia! 

"Engkau jadikanlah setiap amal perbuatanku sebagai lombong pahala untukku di sana nanti," doaku saban hari.   

Inilah pengembaraan perjalanan hidup. Selangkah demi selangkah. Aku hamba-Nya yang sentiasa mencuba untuk memperbaiki dan memajukan diri hari demi hari. Aku seorang pendosa. Masaku amat berharga untuk diisi dengan perkara yang tidak sia-sia. Demi masa. Cabaran terbesarku sebagai seorang suri bekerjaya, berbisnes, ber... ber... dan banyak lagi ber... 

Menariknya, situasi mencabar dalam menempuh hari-hariku yang sukar telah kuolah dalam sebuah buku antologi yang menampilkan genre anekdot. Ini pastinya menceriakan hari anda! Lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kasut yang sama seperti aku. Nantikan kelahiran naskhah Mama, Kopi & Wi-Fi menjelang ketibaan bulan Ramadhan tidak lama lagi. Stay tune! 




MENU BERKHASIAT UNTUK ZURIAT SEAWAL USIA 6 BULAN HINGGA 2 TAHUN

Bismillahirrahmanirrahim...

Penuh waspada tanam melati,
Bimbang nanti tumbuhnya malu;
Resipi bonda istimewa pasti,
Permata hati cergas selalu.


Apabila memegang dummy book buku swaterbit pertamaku, iaitu Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah, naluri hatiku kuat menyatakan, "Aku mahu bukukan resipi makanan bayi yang aku sediakan untuk anakku, Muhammad 'Afif Rayyan!"

Tanpa berfikir panjang, aku terus mencari rakan-rakan di facebook yang boleh membantu aku daripada segi design dan mahir tentang fotografi. Alhamdulillah, jumpa! Semua menu yang ada dalam simpanan disusun dalam layout yang kemas dan diserahkan kepada designer. Subhanallah. Allah permudahkan jalanku. Inilah rupa kulit buku dummy book keduaku!


Aku menelusuri perjalanan seorang self-publisher sekali lagi. Langkah yang sama dituruti. Proses suntingan, mendapatkan surat beranak (ISBN dan PDP), MyIPO sehinggalah urusan percetakan. Semuanya aku pelajari melalui sebuah e-book yang aku temui di internet. Aku mencuba dan terus meneroka. Dari Pahang ke Kuala Lumpur. Bertemu insan yang tak pernah dikenali. Berurusan itu dan ini. Usaha dan tawakal.

Selama ini, aku hanya memuat naik status di facebook berkenaan masakan yang aku hidangkan buat cahaya mata pertamaku sebagai koleksi peribadi untuk rujukan aku sendiri. Hasrat untuk mengumpul dan membukukan hasil air tanganku hadir apabila menerima permintaan daripada sahabat-sahabat. Sokongan begitu padu. Nah, lebih 300 naskhah telah terjual! Alhamdulillah. 

Inilah rupa wajah sebenar buku swaterbit keduaku yang telah pun dipasarkan serentak dengan buku swaterbit pertamaku dalam Festival Sastera Kanak Kanak 2016 anjuran Perbadanan Kota Buku yang diadakan di Pusat Membeli Belah Maju Junction, Kuala Lumpur pada 30 Mei hingga 2 Jun 2016 yang lalu. 

Penulis: Absha Atiah Abu Bakar
Harga: Semenanjung Malaysia RM 12.50/Sabah & Sarawak RM 15.50
*TIDAK termasuk biaya pos

Apa yang bagus tentang buku ini ya? Secara peribadi, saya kumpulkan kesemua menu ini kerana ada ketikanya akan sampai satu tahap saya tidak tahu apa lagi yang mahu dimasak? Inilah rujukan saya. Ya, buku ini memang wajar dimiliki kerana:
  1. Ada panduan untuk mendapatkan cetusan idea dalam penyediaan makanan bayi.
  2. Alternatif bagi anda yang mempunyai kekangan masa untuk mencuba jaya resipi baharu atau sukar mendapatkan resipi makanan bayi daripada sumber-sumber lain.
  3. Resipi yang terkandung di dalam buku ini telah dicuba jaya berulang kali dan hasilnya tidak mengecewakan.
  4. BONUS, buku ini sesuai dijadikan hadiah istimewa buat bakal ibu dan ibu-ibu muda di luar sana. 
Dapatkan sekarang!

HUBUNGI SAYA:

Puan Absha Atiah binti Abu Bakar
Whatsapp: 013-4493510
E-mel: abshaatiahabubakar@gmail.com