Wednesday, May 1, 2019

PANTUN: PENGASAH MINDA, PENGASUH JIWA

Bismillahirrahmanirrahim...

Orangnya santun kupandang damai,
Bertudung labuh rajin berbakti;
Benih pantun elok disemai,
Suburnya tumbuh berakar di hati.

3 Mac 2014, tarikh tersemat dalam ingatan. Pada hari itu, aku telah menerima senaskhah buku berjudul, Pantun: Pengasah Minda, Pengasuh Jiwa yang dikirim oleh Encik Mohd. Januri bin Aiyub, pensyarah yang kusanjungi di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPG KSAH), Sungai Petani, Kedah. Allahuakbar, sekian lama menanti, akhirnya tiba jua buku ini di tanganku. Yeay!

Sebenarnya, inilah buku pertama yang aku hasilkan secara kolaborasi bersama rakan pasukan pantun dan juga pensyarah pembimbing kami, Cik Asniza binti Zakaria. Namun begitu, buku ini tidak diterbitkan di pasaran buat masa ini. Hanya dicetak sebanyak 100 naskhah untuk kegunaan dan rujukan guru pelatih IPG KSAH.

Buku ini menghimpunkan pantun-pantun yang dicipta oleh Mohd. Aidil Firdaus, Saadiah, Norhatiqah dan aku sendiri serta dibantu oleh Siti Fatimah al-Zahra, Shaheera, Norfaryana dan Mohd Luqman. Pantun-pantun tersebut merupakan koleksi peribadi kami sepanjang menyertai pertandingan pantun mewakili IPG dari tahun 2007 hingga 2011. Himpunan pengalaman.

Ya, nilainya amat berharga. Itulah cetusan idea asli dan dicipta menepati syarat agar mencapai standard kualiti sesebuah pantun. Lima tahun bahan dibina. Dua tahun isi kandungannya disusun untuk dibukukan. Sungguh, bukan satu kerja yang mudah! Apabila terkenangkan komitmen setiap kali bertanding, aku amat menghargai pantun-pantun yang terhasil. 

Aku mengambil masa di tahun akhir pengajian untuk mengumpul semua bahan. Peranan sebagai pemantun pertama merangkap ahli pasukan yang paling rajin menyalin dan gigih menyimpan... Perasan jap! Maka, aku diamanahkan untuk compile keseluruhan pantun yang ada. Fuh, lima tahun punya hasil tu... berpinar biji mata weh!  

Walau bagaimanapun, proses menaip dalam layout yang kemas sambil menyunting ejaan, tanda baca dan sebagainya memerlukan tempoh yang agak lama sehingga tugas ini terpaksa disambung oleh adik juniorku, Norhatiqah. Ampun dik! Aku menurunkan amanat ini kepada Norhatiqah kerana aku tidak lagi berada di IPG. Kerap juga aku update perkembangan buku yang mahu dihasilkan ini.

Walaupun telah menamatkan pengajian di IPG dan bergelar seorang guru, usaha membukukan pantun itu tetap diteruskan oleh pensyarahku yang dikasihi, Cik Asniza. Beliaulah yang bertungkus lumus merealisasikan hasratku untuk melihat pantun-pantun kami berada dalam bentuk sebuah buku. Akhirnya, impian jadi kenyataan. Lihatlah hasilnya!


Kulit Hadapan


Kulit Belakang


Halaman Dalam

Inilah detik dan ketikanya aku menikmati perasaan memegang dan memiliki buku yang ada tertulis namaku di dalamnya.  Allahuakbar, syukur alhamdulillah. Best sangat! Momen yang cukup indah. 


Terima kasih Cik Asniza. 
Terima kasih Encik Januri. 
Terima kasih Dr. Hashimah. 
Terima kasih pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Melayu. 
Terima kasih geng pantun - ALUMNI: Sanggar Mustika.

Insya-Allah, dengan izin rakan sepasukan dan para pensyarahku, aku cuba untuk menerbitkan buku ini agar dapat dijadikan panduan dan bermanfaat untuk ramai lagi pencinta pantun di luar sana. Doakan usaha murni ini berjaya! Biiznillah... Amin. 
  

No comments:

Post a Comment