Thursday, April 25, 2019

CABARAN SURI BEKERJAYA BERBISNES

Bismillahirrahmanirrahim...

Rimbun di desa pohon berdahan,
Berteduh petang nyaman dirasa;
Manfaatkan masa pinjaman Tuhan, 
Gelora mendatang pautlah Yang Esa.


Aku seorang anak, menantu, isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Itulah prioritiku. Aku juga tidak dapat lari daripada tugas hakiki sebagai seorang guru. Kerjaya utamaku. Membahagi masa untuk menjalankan amanah tersebut sudah cukup mencabar bagi seorang wanita bertubuh kecil sepertiku. 

Ditambah lagi tugas-tugas sampingan melibatkan hobi dan minat yang amat mendalam sehingga menjadi passion dan eager untuk diteruskan walau apa jua halangan. Aku suka berpantun. Aku suka mengembara. Aku suka mengacara majlis. Aku suka menulis yang akhirnya mendorong aku untuk menjual buku-buku yang kutulis. Automatically, aku seorang usahawan kecil-kecilan.  

Tuntutan sebagai seorang pelajar sarjana sepenuh masa selama dua tahun ini turut memberi cabaran besar untuk aku mengurus jadual harianku. Dahagaku ke hulu ke hilir mencari sebentuk cangkir buat meneguk ilmu sedalam lautan. Alhamdulillah, cuma selangkah sahaja lagi. Menantilah dalam iman. Tarikh konvokesyen bakal diumumkan beberapa bulan dari sekarang. Syukur.  

Ya Allah, sibuknya aku dengan urusan dunia! 

"Engkau jadikanlah setiap amal perbuatanku sebagai lombong pahala untukku di sana nanti," doaku saban hari.   

Inilah pengembaraan perjalanan hidup. Selangkah demi selangkah. Aku hamba-Nya yang sentiasa mencuba untuk memperbaiki dan memajukan diri hari demi hari. Aku seorang pendosa. Masaku amat berharga untuk diisi dengan perkara yang tidak sia-sia. Demi masa. Cabaran terbesarku sebagai seorang suri bekerjaya, berbisnes, ber... ber... dan banyak lagi ber... 

Menariknya, situasi mencabar dalam menempuh hari-hariku yang sukar telah kuolah dalam sebuah buku antologi yang menampilkan genre anekdot. Ini pastinya menceriakan hari anda! Lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kasut yang sama seperti aku. Nantikan kelahiran naskhah Mama, Kopi & Wi-Fi menjelang ketibaan bulan Ramadhan tidak lama lagi. Stay tune! 




No comments:

Post a Comment