Tuesday, April 30, 2019

KELAS BLOG ONLINE

Bismillahirrahmanirrahim...

Melafaz kalam di waktu malam,
Dendang beritma alunan puisi;
Semakin dalam ilmu kau selam,
Jadilah umpama padi berisi.

Minat menulis adalah antara hobi yang sebati dalam diri. Laman Facebook sentiasa menjadi medan untuk aku mengasah kemahiran ini. Langkah menerbitkan koleksi peribadi pada tahun 2016 telah membolehkan aku menapak lebih jauh dalam bidang penulisan. Satu demi satu buku dikeluarkan.

Selain menggunakan medium Facebook sepenuhnya, aku mula mencari guru yang boleh memimpin aku. Ya, berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi. Aku memerlukan seorang guru yang boleh berdiri dan bercakap di hadapan mataku. Bukan hanya bergantung kepada e-book dan bahan bacaan semata. Penting! 

Walaupun langkahku untuk berguru dirasakan agak terlewat. Namun, aku bersyukur kerana usahaku selama ini tidak tersasar. Masih berada atas landasan. Alhamdulillah. Aku mula mendaftar diri menghadiri pelbagai kursus, seminar dan bengkel berkaitan ilmu yang kucari.

"Nanti, kalau aku dah tak ada di Malaysia, macam mana nak datang kelas?" getusku.

Ya Allah, sedihnya apabila memikirkan tentang hal ini. Peluang berharga akan terlepas. 

"Ah, internet mesti ada. Aku wajib maksimumkan kemudahan ini!" Aku membulatkan tekad.

Ternyata, langkah menyertai kelas blog secara atas talian ini amat berguna kepadaku. Aku mempunyai satu ketagihan yang baharu. Masya-Allah. Cantiknya rencana Allah aturkan. Kelas blog yang diajar oleh sifu, Puan Anys Idayu Zakaria sangat membahagiakan aku.

"Macam ni ya?"

"Ini di bahagian mana?"

"Klik yang mana satu ya?"

"Borang itu bagaimana nak diwujudkan?"

Nah, entah berapa banyak soalan kuutarakan! Puan Anys sabar melayani kerenah pelajarnya yang banyak songeh ni. Almaklumlah, mak budak baru belajar. Tambah pula, bukan sikit-sikit ya tugasan yang diberi. Rasakan, 12 tugasan perlu disiapkan! Terkedek-kedek mak budak ni menggodek. 

Waktu pendaftaran lagi aku sudah terfikir, "Sempatkah tugasan ini disiapkan dalam masa seminggu? Aku ni buta IT. Lemah betul kalau melibatkan teknologi, apps itu, apps ini."

Siapa sangka mimpi jadi realiti? Puan Anys yang baik hati memberi peluang untuk aku belajar step by step. One by one. Puan Anys akan guide dan selesaikan masalah aku. Subhanallah, seronok aku meneroka. Oh, kami berhubung melalui aplikasi Whatsapp sahaja ya! Ya Allah, untung sangatlah. Sungguh, memang mudah. 



Nah, inilah hasilnya sepanjang satu minggu berguru! Subhanallah, terujanya perasaanku tidak dapat digambarkan. Terima kasih tidak terhingga kepada Puan Anys kerana merealisasikan impianku untuk memiliki blog sendiri. Syukur ya Allah, dengan izin-Nya kami dipertemukan kerana ilmu-Mu yang luas. 




   
  

  

EBOOK JANA PENDAPATAN DENGAN BLOG

Bismillahirrahmanirrahim...

Bagai gerhana menunggu hari,
Bibir bermadah rindu tak sudah;
Pendapatan dijana di hujung jari,
Khabarkan kaedah laksananya mudah?


Demikianlah, menanti wang jatuh ke riba. Kata orang, pendapatan boleh saja dijana dari rumah. Namun, bagaimanakah caranya? Saat menerima berita bahawa aku perlu berhijrah, aku berfikir tanpa noktah. Seorang wanita yang dirinya sentiasa disibukkan dengan sesuatu perkara, akhirnya bercuti daripada kerjaya. Hilang punca pendapatan utama buat sementara. 

Maka, aktiviti perniagaan kecil-kecilan yang sebelum ini hanya diusahakan sebagai pendapatan sampingan, kini dirasakan bakal menjadi kerjaya number one. Hah, spesies tak reti duduk diam sungguh! 

Walau suamiku mampu menanggung, isterinya tetap bersedia untuk menampung. Sejujurnya, aku sekadar inginkan kepuasan teragung. Puas meraih hasil titik peluh sendiri sementelah diajar berdikari. Gittew! Habis tu nak buat apa?

Ha, apabila bersua insan bernama Puan Anys Idayu Zakaria secara maya melalui kelas blog yang didaftarkan sepanjang 23 hingga 30 April 2019, aku dipertemukan dengan sebuah e-book yang ditulis oleh beliau sendiri, iaitu Jana Pendapatan Dengan Blog. 
Wah, e-book pertama dan terakhir yang kubaca dari awal hingga penutupnya ialah pada hujung tahun 2015, iaitu empat tahun yang lalu! Allahuakbar. Jujur, aku lebih gemar memegang buku fizikal daripada membaca e-book.

Namun, apabila aku mendaftar diri ke kelas blog, secara automatik e-book yang ditulis oleh Puan Anys menjadi rujukan aku. Apa yang boleh aku katakan, minda aku sangat terbuka! Banyak perkara yang selama ini aku mengetahuinya sekadar pengetahuan asas, dicungkil dengan lebih mendalam dan aku semakin faham.

Content e-book ini dapat menjawab persoalan yang bermain dalam fikiranku sebelum ini.

Mengapa aku perlu tulis blog?
Apa yang aku perlu tahu tentang blog?
Bagaimana aku mahu menjana income melalui blog?

Masya-Allah, segalanya ada diceritakan, bahkan lebih lagi. Banyak ilmu baharu yang diraih. Sungguh, memang tak rugi! Tinggal lagi ilmu itu konsisten untuk aku amalkan. Blog, platform baharu untuk aku berlatih menulis dengan lebih baik. Insya-Allah. Doakan aku berjaya! 




Monday, April 29, 2019

AKTIVITI HUJUNG MINGGU

Bismillahirrahmanirrahim...

Pandang tak jemu mawar direnung,
Mekar meraksi pegun adinda;
Carilah ilmu setinggi gunung,
Hidup terisi bekalannya ada. 

KETAHUILAH, "Apabila anak Adam itu mati, maka terputuslah amalnya, kecuali doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat" (Hadis Riwayat Muslim).  

Ya, isilah hidupmu dengan sesuatu yang dapat memberi kebaikan buat bekalan ke syurga idaman. Sesungguhnya, masa terlalu berharga kerana saat kematian itu tidak dapat dijangka. Demikianlah, hidup seorang hamba untuk beribadah kepada-Nya. Pesan buat diriku yang kadangkala alpa.

Kata orang, "Seronoklah dah bercuti tanpa gaji. Lepas ni boleh goyang kaki!" 

"Ah, mana mungkin aku mensia-siakan masa yang ada!" getusku.

Apabila ditakdirkan Allah untuk berhijrah buat kesekian kali, otakku ligat berfikir. 

"Bagaimana aku mahu menempuh hari-hari mendatang di negara orang?"

Aku sangat yakin bahawa aku sukar untuk bergerak ke mana-mana sesuka hatiku seperti yang aku lakukan di Malaysia. Ke sana, ke sini seorang diri dan kadangkala membawa anak kecil bersama. Redah memandu ke mana saja! Itulah aku.   

Oleh itu, beberapa bulan sebelum tibanya tarikh akhir aku mengajar di sekolah, aku mencari saluran ilmu tentang penulisan atas talian. Ini persediaan 'me time' aku apabila berada di bumi anbia. 

15 Mac 2019, aku menemui iklan yang dihebahkan di facebook Puan Masayu Ahmad tentang kelas menulis blog. Sepantas kilat aku klik pautan yang dipaparkan! Keesokan harinya, barulah respon diterima. 

"Assalamualaikum, salam kenal. Saya Anys Idayu. Mohon save nombor saya ya untuk dapatkan lebih banyak info best tentang servis yang ditawarkan. Puan boleh pilih nak upah atau belajar. Kelas di whatsapp. Masa fleksibel ikut masa sendiri. Tugasan akan diberikan dan puan boleh buat ikut masa sendiri. Saya akan semak tugasan sebaik siap."

Allahuakbar. Alangkah bahagianya aku apabila mengetahui ada kelas yang sebegini. Sudah lama aku memendam hasrat untuk memiliki blog sendiri. Inilah masanya! Peluang hadir tepat pada masa. Subhanallah, cantiknya rencana Allah. Sebulan selepas itu, barulah aku diizinkan untuk mendaftar diri bagi menyertai kelas blog secara online bermula 23 hingga 30 April 2019. 

Kebiasaannya, hujung minggu aku akan penuh dengan aktiviti luar. Namun, minggu ini aku memberi perhatian sepenuhnya untuk belajar secara atas talian. Kelas blog online yang telah menarik minat aku sejak beberapa hari ini. Seronok!

Hah, lihatlah design untuk header yang diberikan! Aduhai, rambang mata mahu memilih. Bantu saya boleh?  




YANG MANA SATU IDAMAN KALBU?

TERIMA KASIH PUAN MASAYU AHMAD.
TERIMA KASIH SIFU, PUAN ANYS IDAYU ZAKARIA.

Thursday, April 25, 2019

CABARAN SURI BEKERJAYA BERBISNES

Bismillahirrahmanirrahim...

Rimbun di desa pohon berdahan,
Berteduh petang nyaman dirasa;
Manfaatkan masa pinjaman Tuhan, 
Gelora mendatang pautlah Yang Esa.


Aku seorang anak, menantu, isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata. Itulah prioritiku. Aku juga tidak dapat lari daripada tugas hakiki sebagai seorang guru. Kerjaya utamaku. Membahagi masa untuk menjalankan amanah tersebut sudah cukup mencabar bagi seorang wanita bertubuh kecil sepertiku. 

Ditambah lagi tugas-tugas sampingan melibatkan hobi dan minat yang amat mendalam sehingga menjadi passion dan eager untuk diteruskan walau apa jua halangan. Aku suka berpantun. Aku suka mengembara. Aku suka mengacara majlis. Aku suka menulis yang akhirnya mendorong aku untuk menjual buku-buku yang kutulis. Automatically, aku seorang usahawan kecil-kecilan.  

Tuntutan sebagai seorang pelajar sarjana sepenuh masa selama dua tahun ini turut memberi cabaran besar untuk aku mengurus jadual harianku. Dahagaku ke hulu ke hilir mencari sebentuk cangkir buat meneguk ilmu sedalam lautan. Alhamdulillah, cuma selangkah sahaja lagi. Menantilah dalam iman. Tarikh konvokesyen bakal diumumkan beberapa bulan dari sekarang. Syukur.  

Ya Allah, sibuknya aku dengan urusan dunia! 

"Engkau jadikanlah setiap amal perbuatanku sebagai lombong pahala untukku di sana nanti," doaku saban hari.   

Inilah pengembaraan perjalanan hidup. Selangkah demi selangkah. Aku hamba-Nya yang sentiasa mencuba untuk memperbaiki dan memajukan diri hari demi hari. Aku seorang pendosa. Masaku amat berharga untuk diisi dengan perkara yang tidak sia-sia. Demi masa. Cabaran terbesarku sebagai seorang suri bekerjaya, berbisnes, ber... ber... dan banyak lagi ber... 

Menariknya, situasi mencabar dalam menempuh hari-hariku yang sukar telah kuolah dalam sebuah buku antologi yang menampilkan genre anekdot. Ini pastinya menceriakan hari anda! Lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kasut yang sama seperti aku. Nantikan kelahiran naskhah Mama, Kopi & Wi-Fi menjelang ketibaan bulan Ramadhan tidak lama lagi. Stay tune! 




MENU BERKHASIAT UNTUK ZURIAT SEAWAL USIA 6 BULAN HINGGA 2 TAHUN

Bismillahirrahmanirrahim...

Penuh waspada tanam melati,
Bimbang nanti tumbuhnya malu;
Resipi bonda istimewa pasti,
Permata hati cergas selalu.


Apabila memegang dummy book buku swaterbit pertamaku, iaitu Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah, naluri hatiku kuat menyatakan, "Aku mahu bukukan resipi makanan bayi yang aku sediakan untuk anakku, Muhammad 'Afif Rayyan!"

Tanpa berfikir panjang, aku terus mencari rakan-rakan di facebook yang boleh membantu aku daripada segi design dan mahir tentang fotografi. Alhamdulillah, jumpa! Semua menu yang ada dalam simpanan disusun dalam layout yang kemas dan diserahkan kepada designer. Subhanallah. Allah permudahkan jalanku. Inilah rupa kulit buku dummy book keduaku!


Aku menelusuri perjalanan seorang self-publisher sekali lagi. Langkah yang sama dituruti. Proses suntingan, mendapatkan surat beranak (ISBN dan PDP), MyIPO sehinggalah urusan percetakan. Semuanya aku pelajari melalui sebuah e-book yang aku temui di internet. Aku mencuba dan terus meneroka. Dari Pahang ke Kuala Lumpur. Bertemu insan yang tak pernah dikenali. Berurusan itu dan ini. Usaha dan tawakal.

Selama ini, aku hanya memuat naik status di facebook berkenaan masakan yang aku hidangkan buat cahaya mata pertamaku sebagai koleksi peribadi untuk rujukan aku sendiri. Hasrat untuk mengumpul dan membukukan hasil air tanganku hadir apabila menerima permintaan daripada sahabat-sahabat. Sokongan begitu padu. Nah, lebih 300 naskhah telah terjual! Alhamdulillah. 

Inilah rupa wajah sebenar buku swaterbit keduaku yang telah pun dipasarkan serentak dengan buku swaterbit pertamaku dalam Festival Sastera Kanak Kanak 2016 anjuran Perbadanan Kota Buku yang diadakan di Pusat Membeli Belah Maju Junction, Kuala Lumpur pada 30 Mei hingga 2 Jun 2016 yang lalu. 

Penulis: Absha Atiah Abu Bakar
Harga: Semenanjung Malaysia RM 12.50/Sabah & Sarawak RM 15.50
*TIDAK termasuk biaya pos

Apa yang bagus tentang buku ini ya? Secara peribadi, saya kumpulkan kesemua menu ini kerana ada ketikanya akan sampai satu tahap saya tidak tahu apa lagi yang mahu dimasak? Inilah rujukan saya. Ya, buku ini memang wajar dimiliki kerana:
  1. Ada panduan untuk mendapatkan cetusan idea dalam penyediaan makanan bayi.
  2. Alternatif bagi anda yang mempunyai kekangan masa untuk mencuba jaya resipi baharu atau sukar mendapatkan resipi makanan bayi daripada sumber-sumber lain.
  3. Resipi yang terkandung di dalam buku ini telah dicuba jaya berulang kali dan hasilnya tidak mengecewakan.
  4. BONUS, buku ini sesuai dijadikan hadiah istimewa buat bakal ibu dan ibu-ibu muda di luar sana. 
Dapatkan sekarang!

HUBUNGI SAYA:

Puan Absha Atiah binti Abu Bakar
Whatsapp: 013-4493510
E-mel: abshaatiahabubakar@gmail.com



Wednesday, April 24, 2019

MY PRODUCT!

Bismillahirrahmanirrrahim...

Jemputlah minum di Tanjung Dawai,
Lauk berkuah terhidang juga;
Tatkala meranum hobi dituai,
Lebat berbuah usaha niaga.

Begitulah perjalanan diari usahawanku yang sedang aktif berjalan. Hanya bermula sebagai satu hobi. Kini, minat untuk menulis akhirnya membawa hasil apabila satu demi satu buku yang mengandungi karyaku dilahirkan. Alhamdulillah. Namun begitu, penglibatanku dalam bidang penulisan tidak sama seperti penulis-penulis masyhur yang lain. Perjalananku berliku tanpa seorang insan bergelar guru. Mr. Google menjadi rujukanku waktu itu. Dialah sifu!

Lahirnya diriku sebagai penulis baharu adalah apabila aku mengambil langkah menjadi seorang self-publisher. Matlamat ketika itu hanyalah mahu menyambung pengajian di peringkat sarjana melalui saluran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Bukan mudah untuk aku menerima tawaran Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa memandangkan aku guru novis dan masih belum cukup servis untuk mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sehinggalah aku melihat satu ruangan yang tertera di dalam borang permohonan HLP yang membantu aku, iaitu sumbangan dalam bidang penulisan atau penerbitan. 

Desakan itu memaksa aku untuk menjerumuskan diri sebagai penerbit persendirian sehinggalah aku berjaya melahirkan dua naskhah buku secara swaterbit melalui Absha Jaya Trading. Inilah salah satu kunci yang melayakkan aku untuk menerima hadiah yang ditawarkan oleh KPM. Kemudian, barulah aku berjinak-jinak menghantar satu demi satu manuskrip yang kutulis kepada penerbit yang sedia ada di Malaysia setelah menghadiri beberapa kursus, bengkel dan seminar untuk menambah pengetahuan dalam bidang penulisan yang menjadi sumber pendapatan sampinganku hari ini. Penting untuk aku mencari pakar dalam bidang. Jelas, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi!

Nah, pejam, celik, pejam, celik, beranak-pinak buku yang menghimpunkan hasil tulisanku! Syukur.


1. Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah 
  • READY STOCK
  • Semenanjung Malaysia: RM 27
  • Sabah & Sarawak: RM 30
  • TIDAK termasuk biaya pos
2. Menu Berkhasiat Untuk Zuriat Seawal Usia 6 Bulan Hingga 2 Tahun 
  • READY STOCK
  • Semenanjung Malaysia: RM 12.50
  • Sabah & Sarawak: RM 15.50
  • TIDAK termasuk biaya pos
3. Pantun: Pengasah Minda, Pengasuh Jiwa (Dalaman) 
  • SOLD OUT!
4. Himpunan Lembaran Kerja Pendidikan Islam Prasekolah PPKI (Dalaman) 
  • SOLD OUT!
5. Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan: Rencah Kehidupan (Hana Secantik Hana) 
  • SOLD OUT!
6. Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Kiblat Kehidupan (Sirat Menuju Ar-Rayyan) 
  • SOLD OUT!
7. Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Hijrah Kehidupan (Doa Firdaus ke Pintu Firdaus) 
  • SOLD OUT!
8. Antologi Kembara Tidak Ajari Kita Menjulang Benci (Taming Sari ke Eiffel Tower) 
  • SOLD OUT!
9. Antologi Mama, Kopi & Wi-Fi (Anekdot Pintu Hati, Makan Hati, Sesi Penggambaran, Sedekah dan Duha) 
  • READY STOCK
  • Harga: RM 30
  • TIDAK termasuk biaya pos
10. Siri Muhasabah Diri Bercakap Dengan Cermin: Jalan Pulangku (Musibah Untuk Muhasabah) 
  • PRE-ORDER
  • Harga: RM 20
  • TIDAK termasuk biaya pos


HUBUNGI SAYA:

Puan Absha Atiah binti Abu Bakar
Whatsapp: 013-4493510
E-mel: abshaatiahabubakar@gmail.com

Tuesday, April 23, 2019

KOLEKSI TEKS PENGACARAAN MAJLIS RASMI SEKOLAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Warkah ditulis si gadis sunti,
Buat tatapan aduka di sana; 
Pengacara majlis amanah dinanti,
Atur persiapan tugas dilaksana.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang dan Dialah yang menentukan segalanya. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT akhirnya buku swaterbit pertama saya telah pun dipasarkan dalam Festival Sastera Kanak-Kanak 2016 anjuran Perbadanan Kota Buku yang diadakan di Pusat Membeli Belah Maju Junction, Kuala Lumpur pada 30 Mei hingga 2 Jun 2016 yang lalu.

Buku ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan guru khususnya dan pengacara majlis secara amnya sehingga telah terjual LEBIH 500 naskhah! Syukur. Maklum balas yang diterima daripada pembeli dan pembaca juga rata-ratanya telah memberikan satu gelaran yang cukup istimewa terhadap buku ini, iaitu EMCEE BIDAN TERJUN. Subhanallah. Tabarakallah. Terima kasih daun keladi.  




Ya, inilah rupa dummy book untuk naskhah ini pada awalnya! Bukan mudah untuk kuhasilkan buku ini secara self-publish memandangkan aku bukan seorang penulis profesional. Dunia penulisan bukan bidang utamaku. Namun, hanya berbekal satu tekad, iaitu mahu mengumpulkan skrip pengacaraanku dalam bentuk sebuah buku yang boleh dijadikan rujukan peribadi, maka aku mula menggali ilmu perbukuan melalui sumber internet semata-mata tanpa berguru dengan sesiapa.

Alhamdulillah, satu demi satu langkah kuturuti. Tempoh sebulan setengah sepanjang cuti sekolah akhir tahun 2015, aku gunakan sepenuhnya untuk fokus menyiapkan naskhah ini sehinggalah aku berjaya melahirkan 'bayi' pertamaku yang sangat bermakna buat diriku. Pengalaman mengemudi acara di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan selama beberapa tahun, akhirnya berjaya dibukukan. Tumpah air mata kesyukuran.   


Penulis: Absha Atiah Abu Bakar/Guru
Editor: Mohd Januri Aiyub/Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg.Petani merangkap Munsyi Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)
Harga: Semenanjung Malaysia RM 27/Sabah & Sarawak RM 30 
*TIDAK termasuk biaya pos

Inilah rupa buah tangan tercinta! Permintaan untuk cetakan kedua juga sudah ada. Masya-Allah. Sungguh tak disangka. Angan-angan menjadi nyata. Andai diberi peluang akan diusahakan satu hari nanti. Insya-Allah. Mari habiskan buku cetakan pertama yang MASIH berbaki beberapa naskhah sahaja lagi dalam tangan ini. Ayuh! Tapi, kenapa buku ini harus dimiliki ya? 

Buku Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah ini memuatkan:

  1. Tip pengacaraan majlis.
  2. Penggunaan salutasi yang tepat mengikut protokol.
  3. Pantun dan bait putis yang berbeza bagi setiap acara.
  4. Disusun mengikut kronologi tentatif program. Anda boleh terus menggunakan buku ini untuk mengacara sesuatu majlis, cuma perlu menukar nama dan jawatan individu yang terlibat sahaja.
  5. BONUS bagi anda yang ingin menghasilkan buku buat kali pertama, anda boleh mendapatkan naskhah ini sebagai rujukan asas untuk halaman muka buku mengikut gaya dewan yang diterima pakai oleh penerbit.

Best kan? Tunggu apa lagi...


HUBUNGI SAYA:

Puan Absha Atiah binti Abu Bakar
Whatsapp: 013-4493510
E-mel: abshaatiahabubakar@gmail.com

I AM ME!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pahang negeri asalnya dari,
Merantau jauh tak pernah henti,
Absha Atiah kenalkan diri,
Nama yang indah sampai ke mati.



15 Mei 1988, pasangan Abu Bakar bin Salim dan Norshapura binti Ali menerima kelahiran cahaya mata pertama. Bayi perempuan ini dibelai dan dibesarkan dalam keadaan yang serba sederhana. Alhamdulillah, usia menginjak angka enam. Maka, melangkahlah seorang kanak-kanak perempuan ke Tadika KEMAS, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Setiap hari, dia merenung ke luar jendela melihat sebuah sekolah rendah swasta yang terletak bersebelahan tadika.

"Nanti, aku nak sekolah di situ!" katanya kepada rakan sekelas.

Tamat persekolahan selama setahun di Tadika KEMAS pada tahun 1994, menapaklah 100 meter untuk ke sekolah baharu bagi kemasukan tahun satu. Enam tahun menuntut ilmu di Sekolah Rendah Islam (SRI) ABIM, Bandar Indera Mahkota. Di sinilah dia mula aktif dalam bersukan dan menamatkan persekolahan sebagai olahragawati sekolah (1999) sebelum beralih ke sekolah menengah harian. 

Kanak-kanak perempuan ini membesar sebagai seorang remaja yang bergelar pengawas selama tiga tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (SMKTPPTM), Kuantan, Pahang. Usia remaja di sekolah ini telah memberi pendedahan baharu kepadanya, iaitu meneroka #DuniaPantun dan mula berjinak-jinak dalam pertandingan mengarang. Alhamdulillah, keputusan cemerlang yang diperoleh dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah melayakkannya untuk menyambung persekolahan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Temerloh, Pahang.    

Legasi #DuniaSukan dan #DuniaPantun yang semakin sebati dalam diri diteruskan di sekolah baharu. Tidak lagi bergelar pengawas, sebaliknya mencuba pula jawatan lain yang ditawarkan di sekolah berasrama, iaitu Ketua Dorm! Begitulah, dunia seorang pelajar yang sentiasa disuntik dengan pelbagai perkara yang belum pernah dirasa. Pengalaman demi pengalaman. Mewarnai perjalanan sebuah kehidupan. Status seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudiannya diisi dengan jawatan sebagai pembantu di sebuah klinik swasta. Nah, pengalaman bekerja sementara pula ditimba!

Takdir Allah, selepas enam bulan penantian, dia ditawarkan untuk menyambung pengajian di International Islamic University Malaysia (IIUM), Petaling Jaya, Selangor dalam bidang Bioscience selama satu tahun setengah (foundation) sebelum meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Namun, hanya beberapa minggu mendaftarkan diri di situ, keputusan temuduga sebagai penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) telah diterima. LULUS! 

Maka, dia merantau lagi. Kali ini ke Negeri Jelapang Padi, Sungai Petani, Kedah. Lima tahun setengah pengajian sebagai guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Islam/Bahasa Arab diteruskan di IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Memori pahit, manis, suka dan duka tercipta di sini. Pelbagai kisah, 1001 rencah. #DuniaPerguruan mula diteroka. #DuniaPantun menaiki tangga. #DuniaPengacaraanMajlis bermula. #DuniaSukan diteruskan seperti biasa. Segalanya ada.

Setelah Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kelas Pertama digenggam, gadis remaja ini melangkah ke alam pekerjaan tetap. 2012, tahun pertama dia bergelar guru di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2, Puchong, Selangor. 2013, dia melangkah ke satu fasa baharu kehidupan, iaitu alam perkahwinan. Merasai pengalaman sebagai pasangan perhubungan jarak jauh (PJJ) selama beberapa tahun.   

Kelahiran cahaya mata pertama yang memasuki usia 5 bulan telah membawa sinar dalam hidupnya apabila permohonan pertukaran guru telah diluluskan. 2015, dia mula bermastautin di Negeri Hang Tuah setelah berjaya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Malim, Bertam Malim, Melaka. #DuniaKanakKanak #DuniaPenyusuan dan #DiariResipiPeribadi (makanan bayi) bermula. #DuniaPenulisan turut diaktifkan. Akhirnya, buku swaterbit pertama, Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah dan Menu Berkhasiat Untuk Zuriat Seawal Usia 6 Bulan hingga 2 tahun diterbitkan.

2016, dua program besar dimohon sekali gus. Pertama, permohonan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (HLP) tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kedua, Program Pembangunan Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama KPM. Alhamdulillah, kedua-duanya LULUS. Perjalanan #DiariMasterjee pun bermula. Syukur. 

Tanggal 2 Ogos 2018, gadis remaja yang sudah bergelar seorang isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini melapor diri ke sekolah baharu setelah bercuti belajar selama dua tahun. Dia seterusnya bertugas di sekolah ketiga dalam perkhidmatan, iaitu Sekolah Kebangsaan Kerubong, Kampung Kerubong, Melaka. Setelah enam bulan bertugas, dia merasai satu lagi pengalaman baharu setelah permohonan cuti tanpa gaji (CTG) diluluskan. #DiariKembara kembali diaktifkan. Kerjaya masa cutinya yang berada di negara orang diisi dengan minatnya dalam bidang penulisan.

#DiariUsahawan yang diceburi saat ini melibatkan karya tulisan dirinya sendiri. Berikut ialah naskhah yang telah dihasilkan, iaitu:
  1. Pantun: Pengasah Minda, Pengasuh Jiwa cetakan sebagai rujukan pelajar IPG KSAH.
  2. Himpunan Lembaran Kerja Pendidikan Islam Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) cetakan sebagai rujukan guru SK Malim.  
  3. Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah terbitan Absha Jaya Trading.
  4. Menu Berkhasiat Untuk Zuriat Seawal Usia 6 Bulan hingga 2 tahun terbitan Absha Jaya Trading.
  5. Karya 'Hana Secantik Hana' dalam Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan: Rencah Kehidupan terbitan Wacana MBM.
  6. Karya 'Doa Firdaus Ke Pintu Firdaus' dalam Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Hijrah Kehidupan terbitan Wacana MBM.
  7. Karya 'Sirat Menuju Ar-Rayyan' dalam Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Kiblat Kehidupan terbitan Wacana MBM
  8. Karya 'Taming Sari Ke Eiffel Tower' dalam Antologi Kembara Tidak Ajari Kita Menjulang Benci terbitan Writer's Write.
  9. Anekdot 'Pintu Hati - Makan Hati - Sesi Penggambaran - Sedekah - Duha' dalam Antologi Mama, Kopi & Wi-Fi terbitan Rabiadza Enterprise.
Doakan Absha Atiah binti Abu Bakar sentiasa diberikan ilham untuk terus berkarya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang sudi mengunjungi blog saya ini. Semoga beroleh manfaat dan memberi inspirasi buat anda.