Wednesday, May 1, 2019

HIMPUNAN LEMBARAN KERJA PENDIDIKAN ISLAM PRASEKOLAH PPKI

Bismillahirrahmanirrahim...

Perahu mudik ke Tanjung Jati,
Lelah bertandang dayung bersilih; 
Guru mendidik seikhlas hati,
Melimpah sayang anak terpilih.




Sepanjang berkhidmat sebagai seorang guru, aku tidak pernah menyangka bahawa aku akan diberi amanah untuk mendidik murid Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kerana guru yang mengendalikan anak-anak syurga ini memerlukan kemahiran dan kepakaran yang khusus. Namun, atas rasa tanggungjawab, aku laksanakan tugas ini sehabis baik.

2 September 2016 merupakan hari terakhir aku bersama mereka setelah permohonanku untuk menyambung pengajian diluluskan. Selama sembilan bulan aku berlatih menyesuaikan diri untuk mengenali, memahami dan berada dalam dunia mereka sehingga aku benar-benar selesa. Namun, jodoh kami tidak panjang.   

Walau bagaimanapun, pengalaman mengajar mereka selama sembilan bulan itu kugunakan sebaiknya. Lembaran kerja yang aku hasilkan sendiri, aku kumpul dan usaha untuk dibukukan agar dapat dijadikan rujukan oleh guru lain yang akan mengambil alih tempatku. 

Tidak sia-sia juga bahan yang aku siapkan saban hari jika aku berkongsi. Ya, tulislah! Bina bekalan untuk kau tinggalkan.

Pengalaman yang aku lalui membuatkan aku benar-benar empati dengan perasaan guru baharu yang berada dalam situasiku. 

Apa nak buat? 
Apa aktiviti yang sesuai? 
Bagaimana mahu mengajar? 
Di mana harus aku mulakan? 

Pelbagai persoalan bermain di minda. Berpeluh dibuatnya! Namun, atas panduan dan cadangan yang diberikan oleh guru yang lebih berpengalaman, iaitu Puan Roslaini dan Puan Zumaidah, aku berasa sedikit lega. Satu demi satu lembaran kerja kubina. 

Penekanan banyak diberikan kepada latihan asas seperti menyurih, menyambung titik dan mewarna. Diam tak diam, apabila tiba masa meninggalkan mereka, buku ini berjaya juga dicetak dalam dua saiz berbeza, iaitu A4 dan B5 untuk kegunaan dalaman, khususnya guru yang menggantikan aku.  




Inilah bingkisan terakhir buat anak-anak istimewa anugerah Allah yang amat dikasihi. Kami sebuah keluarga. Insya-Allah, andai ada rezeki dapat dipatenkan dan ada permintaan untuk diterbitkan, aku akan usahakan. Doakan ya. Amin. 


No comments:

Post a Comment