Tuesday, April 23, 2019

I AM ME!

Bismillahirrahmanirrahim...

Pahang negeri asalnya dari,
Merantau jauh tak pernah henti,
Absha Atiah kenalkan diri,
Nama yang indah sampai ke mati.



15 Mei 1988, pasangan Abu Bakar bin Salim dan Norshapura binti Ali menerima kelahiran cahaya mata pertama. Bayi perempuan ini dibelai dan dibesarkan dalam keadaan yang serba sederhana. Alhamdulillah, usia menginjak angka enam. Maka, melangkahlah seorang kanak-kanak perempuan ke Tadika KEMAS, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Setiap hari, dia merenung ke luar jendela melihat sebuah sekolah rendah swasta yang terletak bersebelahan tadika.

"Nanti, aku nak sekolah di situ!" katanya kepada rakan sekelas.

Tamat persekolahan selama setahun di Tadika KEMAS pada tahun 1994, menapaklah 100 meter untuk ke sekolah baharu bagi kemasukan tahun satu. Enam tahun menuntut ilmu di Sekolah Rendah Islam (SRI) ABIM, Bandar Indera Mahkota. Di sinilah dia mula aktif dalam bersukan dan menamatkan persekolahan sebagai olahragawati sekolah (1999) sebelum beralih ke sekolah menengah harian. 

Kanak-kanak perempuan ini membesar sebagai seorang remaja yang bergelar pengawas selama tiga tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad (SMKTPPTM), Kuantan, Pahang. Usia remaja di sekolah ini telah memberi pendedahan baharu kepadanya, iaitu meneroka #DuniaPantun dan mula berjinak-jinak dalam pertandingan mengarang. Alhamdulillah, keputusan cemerlang yang diperoleh dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah melayakkannya untuk menyambung persekolahan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Temerloh, Pahang.    

Legasi #DuniaSukan dan #DuniaPantun yang semakin sebati dalam diri diteruskan di sekolah baharu. Tidak lagi bergelar pengawas, sebaliknya mencuba pula jawatan lain yang ditawarkan di sekolah berasrama, iaitu Ketua Dorm! Begitulah, dunia seorang pelajar yang sentiasa disuntik dengan pelbagai perkara yang belum pernah dirasa. Pengalaman demi pengalaman. Mewarnai perjalanan sebuah kehidupan. Status seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudiannya diisi dengan jawatan sebagai pembantu di sebuah klinik swasta. Nah, pengalaman bekerja sementara pula ditimba!

Takdir Allah, selepas enam bulan penantian, dia ditawarkan untuk menyambung pengajian di International Islamic University Malaysia (IIUM), Petaling Jaya, Selangor dalam bidang Bioscience selama satu tahun setengah (foundation) sebelum meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Namun, hanya beberapa minggu mendaftarkan diri di situ, keputusan temuduga sebagai penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) telah diterima. LULUS! 

Maka, dia merantau lagi. Kali ini ke Negeri Jelapang Padi, Sungai Petani, Kedah. Lima tahun setengah pengajian sebagai guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Islam/Bahasa Arab diteruskan di IPG Kampus Sultan Abdul Halim. Memori pahit, manis, suka dan duka tercipta di sini. Pelbagai kisah, 1001 rencah. #DuniaPerguruan mula diteroka. #DuniaPantun menaiki tangga. #DuniaPengacaraanMajlis bermula. #DuniaSukan diteruskan seperti biasa. Segalanya ada.

Setelah Ijazah Sarjana Muda Perguruan Kelas Pertama digenggam, gadis remaja ini melangkah ke alam pekerjaan tetap. 2012, tahun pertama dia bergelar guru di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2, Puchong, Selangor. 2013, dia melangkah ke satu fasa baharu kehidupan, iaitu alam perkahwinan. Merasai pengalaman sebagai pasangan perhubungan jarak jauh (PJJ) selama beberapa tahun.   

Kelahiran cahaya mata pertama yang memasuki usia 5 bulan telah membawa sinar dalam hidupnya apabila permohonan pertukaran guru telah diluluskan. 2015, dia mula bermastautin di Negeri Hang Tuah setelah berjaya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Malim, Bertam Malim, Melaka. #DuniaKanakKanak #DuniaPenyusuan dan #DiariResipiPeribadi (makanan bayi) bermula. #DuniaPenulisan turut diaktifkan. Akhirnya, buku swaterbit pertama, Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah dan Menu Berkhasiat Untuk Zuriat Seawal Usia 6 Bulan hingga 2 tahun diterbitkan.

2016, dua program besar dimohon sekali gus. Pertama, permohonan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa (HLP) tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kedua, Program Pembangunan Pengkarya Guru anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan kerjasama KPM. Alhamdulillah, kedua-duanya LULUS. Perjalanan #DiariMasterjee pun bermula. Syukur. 

Tanggal 2 Ogos 2018, gadis remaja yang sudah bergelar seorang isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata ini melapor diri ke sekolah baharu setelah bercuti belajar selama dua tahun. Dia seterusnya bertugas di sekolah ketiga dalam perkhidmatan, iaitu Sekolah Kebangsaan Kerubong, Kampung Kerubong, Melaka. Setelah enam bulan bertugas, dia merasai satu lagi pengalaman baharu setelah permohonan cuti tanpa gaji (CTG) diluluskan. #DiariKembara kembali diaktifkan. Kerjaya masa cutinya yang berada di negara orang diisi dengan minatnya dalam bidang penulisan.

#DiariUsahawan yang diceburi saat ini melibatkan karya tulisan dirinya sendiri. Berikut ialah naskhah yang telah dihasilkan, iaitu:
  1. Pantun: Pengasah Minda, Pengasuh Jiwa cetakan sebagai rujukan pelajar IPG KSAH.
  2. Himpunan Lembaran Kerja Pendidikan Islam Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) cetakan sebagai rujukan guru SK Malim.  
  3. Koleksi Teks Pengacaraan Majlis Rasmi Sekolah terbitan Absha Jaya Trading.
  4. Menu Berkhasiat Untuk Zuriat Seawal Usia 6 Bulan hingga 2 tahun terbitan Absha Jaya Trading.
  5. Karya 'Hana Secantik Hana' dalam Siri Anekdot dan Cerita Kehidupan: Rencah Kehidupan terbitan Wacana MBM.
  6. Karya 'Doa Firdaus Ke Pintu Firdaus' dalam Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Hijrah Kehidupan terbitan Wacana MBM.
  7. Karya 'Sirat Menuju Ar-Rayyan' dalam Siri Anekdot dan Kisah Kehidupan: Kiblat Kehidupan terbitan Wacana MBM
  8. Karya 'Taming Sari Ke Eiffel Tower' dalam Antologi Kembara Tidak Ajari Kita Menjulang Benci terbitan Writer's Write.
  9. Anekdot 'Pintu Hati - Makan Hati - Sesi Penggambaran - Sedekah - Duha' dalam Antologi Mama, Kopi & Wi-Fi terbitan Rabiadza Enterprise.
Doakan Absha Atiah binti Abu Bakar sentiasa diberikan ilham untuk terus berkarya. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang sudi mengunjungi blog saya ini. Semoga beroleh manfaat dan memberi inspirasi buat anda.

No comments:

Post a Comment